Selepas kita telah melepasi kegawatan kenaikan harga petrol, kini kita sudah mula untuk menghadapi satu lagi kegawatan. ”Kegawatan apa pula ni?. Ini dah jadi lepas mulut buaya, masuk mulut naga pula”.

Selepas kita mengalami kegawatan ekonomi global yang teruk pada sekitar tahun 1996 sehingga sekitar tahun 1997, kini kita bakal dan akan menghadapinya sekali lagi pada Tahun Baru yang baru sahaja kita sambut hari ini iaitu tahun 2009. Saya masih ingat lagi pada kegawatan ekonomi yang lepas seperti saya sebutkan tadi. Ia adalah tahun-tahun yang sangat memeritkan. Saya pasti anda juga mengetahui bagaimana keadaannya pada waktu-waktu itu. Cuba anda bayangkan, saya bekerja iaitu di sebuah firma arkitek yang mempunyai hampir 15 orang kakitangan, disebabkan oleh kegawatan ekonomi dan juga untuk mengurangkan kos operasi pengurusan, hampir separuh dari mereka telah diberhentikan perkhidmatan mereka. Mereka terdiri daripada 4 orang arkitek, 2 orang pelukis pelan dan seorang penyambut tetamu.

Jika anda berada di tempat mereka, bagaimana keadaan mereka untuk meneruskan kehidupan mereka tanpa mempunyai pekerjaan, dengan kata lain tidak mempunyai sumber pendapatan. Ya, mereka sedikit bernasib baik kerana majikan kami telah memberikan sedikit pampasan untuk mereka bagi meneruskan keperluan kehidupan mereka. Tapi pada pendapat anda, berapa lamakah sedikit wang pampasan tersebut dapat bertahan?. Bagaimana pula kami yang dikekalkan bekerja di firma tersebut setelah bersetuju untuk ”dipotong gaji” sebanyak 10% kerana tiada pilihan lain?.

Kini kita akan dan telah pun berada di tahun yang dikatakan antara tahun permulaan yang mencabar untuk menangani kegawatan ekonomi. Saya di sini bukan untuk menerangkan mengapa terjadinya kegawatan ekonomi, kerana saya dan anda semua tiada mempunyai kuasa atau mukjizad untuk mengawal ekonomi ”gergasi dunia”. Kita tidak sepatutnya mengikut sangat arus perubahan ini walaupun kita sedar bahawa kita terpaksa mengikut arus perubahan ini walau apa juga keadaan. Cuma apa yang boleh kita lakukan adalah dengan menghadapinya dan menanganinya dengan lebih berhati-hati. Persoalannya sekarang, selama mana untuk menanganinya?. Jia anda bertanya kepada saya, jawapan saya mungkin begini, ”selamanya” atau ”sementara sahaja”. Sekarang saya tanya anda pula, ” Mana satu pilihan anda, selamanya atau sementara?.”

Mungkin jawapan anda semua berlainan kerana ada antara anda mempunyai sebab yang tertentu iaitu samada anda berada di pihak yang sudah pun bersedia atau anda berada di pihak yang sebaliknya kerana tidak mengambil hal mengenai ekonomi global.

Kepada mereka yang telah bersedia, saya ucapkan ”Tahniah” dan ”Selamat Menempuh hari mendatang dengan tenang”. Kepada mereka yang ”sebaliknya”, saya ucapkan juga ”tahniah” tetapi saya harap mereka juga dapat menempuh hari yang mendatang dengan lebih ketenangan kerana belum terlambat untuk anda membuat persediaan bagi menghadapi hari-hari yang akan di tempuh.

Apa yang perlu di buat untuk menangani kegawatan ekonomi?.


  • Membayar diri anda dahulu.

Ini adalah perkara yang utama yang perlu anda lakukan dari beberapa langkah yang sepatutnya iaitu membayar diri anda sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan anda. Apa yang saya maksudkan membayar diri anda di sini adalah nyawa anda. Sama ada ianya berbentuk kesihatan anda, insuran, keluarga atau pelaburan untuk masa hadapan anda. Jika anda tidak mampu mambayar diri anda dan sibuk untuk membayar untuk orang lain, langkah-langkah yang lain di bawah ini tidak perlulah anda baca. (jangan buang masa anda untuk membaca yang seterusnya jika anda tak faham apa yang dimaksudkan tadi)

Jadi bayarlah untuk diri anda sendir – dapat bayar lebih lagi bagus tapi biarlah berpatutan. Memang payah untuk dilakukan tetapi ia perlu dilakukan tidak kira sama ada semasa kegawatan atau semasa senang-lenang.


  • Simpanan tunai yang mencukupi.

Walaupun anda tidak risau akan kehilangan pekerjaan, anda sebenarnya perlu menyimpan seberapa banyak yang boleh untuk perlindungan. Sebahagian pakar ekonomi mengatakan, perlu menyimpan untuk menampung keperluan hidup untuk selama 6 bulan sehingga 9 bulan.

Dengan mempunyai simpanan tunai, anda tidak perlu untuk melupuskan sebarang pelaburan dan perancangan anda di masa kecemasan.

· Kurangkan perbelanjaan.

Melabur untuk masa hadapan hanya boleh di lakukan jika anda mempunyai pendapatan yang lebih di setiap hujung bulan. Cuba-cubalah lihat kembali bagaimana anda dapat mengurangkan apa-apa juga perbelanjaan harian atau bulanan anda. Contohnya seperti bil-bil perkhidmatan dan apa-apa juga jenis pembayaran bulanan anda.

(Saya hairan juga bila berada di kaunter pembayaran di pasaraya, kalau tengok di sekeliling kepada mereka yang membeli-belah, mereka akan cuba untuk memenuhkan troli mereka dengan segala jenis barang keperluan dan tidak diperlukan. Sebanyak itu kah mereka perlu belanjakan semasa ekonomi yang semakin merundum?.)


  • Membayar hutang besar.

Dari membuat sedikit pelaburan masa hadapan, mungkin anda boleh membuat pertimbangan untuk membayar hutang, terutamanya hutang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi atau membayar faedah yang tidak boleh di tolak untuk pengurangan cukai pendapatan. Antara contoh hutang yang mengenakan faedah yang tinggi adalah sewabeli kereta, pembiayaan peribadi dan kad kredit – terutamanya.

· Membuat pelan perbelanjaan.

Dengan membuat pelan perbelanjaan atau budjet, ia dapat mengawal perbelanjaan anda dan dapat mengenal pasti jumlah yang perlu anda buat simpanan untuk setiap bulan. Dengan mempunyai pelan perbelanjaan juga akan dapat membantu anda untuk membuat keputusan pelaburan. Buatlah pelaburan yang bersistematik terutamanya pada waktu pasaran menurun. (jika anda seorang yang agrasif, pada waktu ini lah yang paling sesuai untuk membuat pelaburan jangkamasa panjang, contohnya untuk pelan persaraan anda).


  • Membuat pemeriksaan laporan kredit.

Pada waktu gawat seperti ini, Kerajaan kemungkinan akan menurunkan kadar faedah sebagai bantuan untuk menangani kegawatan. Ini kemugkinan satu peluang untuk anda untuk membiayai semula (refinance) gadaijanji perumahan, tetapi ini hanya boleh dicapai jika anda mempunyai rekod kewangan yang kukuh. Periksa rekod kredit anda segera untuk mengelak sebarang kesilapan rekod kerana untuk mengemaskini semula rekod anda ini memerlukan masa dan jika anda tidak membetulkan rekod kredit anda di pertengahan permohonan pembiayaan semula, kemungkinan itu akan di tolak. Tahukah anda bahawa anda sebenarnya di benarkan mendapat laporan kredit anda secara percuma sekali di dalam setahun?.

Jika anda berada di Lembah Kelang, anda boleh mendapatkan laporan tersebut di Ibupejabat Bank Negara di Jalan Dato’ Onn. Jika anda berada di luar kawasan Lembah Kelang, anda bolehlah mendapatkannya di mana-mana cawangan Bank Negara. Sila lawati laman web http://creditbureau.bnm.gov.my secara online untuk keterangan lanjut.

  • Networking.

Apa-apa sahaja boleh terjadi kepada kita di waktu-waktu kegawatan begini. Maka, adalah amat penting supaya anda mempunyai perhubungan yang meluas dengan pelbagai jenis orang. Berhubunglah semula dengan kawan-kawan lama, bekas rakan sekolah, bekas rakan kerja, keluarga, jiran dan sesiapa saja yang anda kenal. Siapa tahu, salah seorang daripada mereka mungkin akan menyelamatkan karier atau nyawa anda nanti.

Apa yang tidak patut dibuat semasa kegawatan ekonomi.

  • Jangan mengikut apa yang dibuat oleh orang lain.

Mugkin pada waktu begini anda akan mendengar bagaimana kawan atau rakan anda masih mampu untuk membeli barangan yang mewah. Pada waktu begini sepatutnya anda lebih berhati-hati untuk berbelanja dan lebih baik jika anda mempunyai wang boleh digunakan untuk simpanan pada hari-hari yang mendatang.


  • Jangan lupa untuk keperluan perlindungan.

Mungkin pada masa ini anda patut memikirkan semula untuk menambahkan lagi insuran perlindungan untuk menampung apa-apa sahaja kemalangan yang bakal berlaku. Antara insuran perlindungan yang perlu anda pertimbangkan adalah perlindungan insuran kurang upaya (disability) atau insuran perlindungan untuk perumahan anda.


  • Jangan membuat pelaburan yang anda tidak fahami.

Semasa krisis kewangan ini dapat menunjukkan bahaya kepada membuat pelaburan yang kompleks seperti pelaburan saham terbuka atau pelaburan pertukaran wang asing. Jika anda pada sebelum ini memikirkan untuk membuat pelaburan di bursa saham terbuka, anda patut menangguhkan rancangan anda ini pada waktu-waktu begini. Walau bagaimanapun, jika anda masih lagi seorang yang agrasif untuk membuat pelaburan untuk jangkamasa sederhana atau panjang, membuat pelaburan di saham amanah adalah cara yang paling sesuai dan selamat.


  • Jangan ambil bahagian kepada peluang yang anda tidak kenali.

Semasa waktu-waktu begini, pelbagai tawaran dan peluang dari pihak yang anda tidak kenal pasti akan hadir di dalam hidup anda. Antara cara-cara yang pihak-pihak ini lakukan adalah termasuk melalui surat, e-mel, panggilan telefon atau dari jurujual yang tidak pernah anda jumpa. Kebanyakkan syarikat yang menggunakan cara-cara yang saya sebutkan tadi, adalah untuk menjerat anda untuk melariskan produk-produk yang mengarut sebenarnya.

Mungkin anda akan tertarik dengan tawaran yang mereka berikan seperti menjanjikan hadiah pelancongn atau barangan percuma, tetapi sebenarnya apa yang akan anda laburkan nanti akan hanya menjadi lebur.

Jika anda menerima tawaran-tawaran yang sebegini, langkah pertama adalah untuk mengenal pasti tawaran tersebut melalui mencari maklumat lanjut sama ada melalui rakan-rakan yang anda dapat percayai atau pasangan anda. Jika tawaran tersebut mempunyai banyak sangat syarat-syaratnya, lebih baik anda katakan ”Maaf, saya tidak berminat dengan peluang ini”. Jika peluang tersebut datang dari peti masuk e-mel anda, anda sudah pasti tahu apa yang perlu di buat kepada e-mel ’spam’ ini – ke peti ’trash’ lah jawabnya. Jika ia datang dari bentuk surat ke rumah anda, di bawah peti surat rumah anda ada tong sampahkan – masukkan kedalamnya..

Jika anda berjaya melakukan perkara-perkara di atas tadi, Tahniah! Anda beruntung sebenarnya kerana anda telah menyelamatkan wang anda dari hasil kerja keras anda sebentar tadi.

Kesimpulan

Tidak kira sama ada pada waktu keperitan atau kemewahan, usaha yang anda lakukan yang bakal menentukan sama ada akan merundum jatuhkan anda atau akan meneruskan kehidupan anda. Dan bagaimanapun akan dihadapi nanti, yang pastinya hidup mesti diteruskan dan bertawakal lah kepada Allah kerana hanya Dia yang menentukan qada’ dan qadarnya.

About these ads