Setelah sekian lama, rakyat Malaysia telah memandu dengan selesa di jalanraya disebabkan bebas menggunakan petrol yang disabsidikan oleh kerajaan tanpa menyedari dan mengambil tahu akan kenaikan harga ’emas hitam’ di pasaran dunia.

Namun keadaanya berubah apabila pada hari Rabu yang lepas (04 Jun, 2008), kerajaan telah mengumumkan harga petrol di negara kita, pada kenaikan 40% , iaitu dari RM 1.92 kepada RM 2.70 seliter dan menjadikan rakyat Malaysia di dalam keadaan kecemasan seperti ianya menjadi satu masalah yang besar kepada ekonomi pengguna.

Sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat, pelbagai komen dan cadangan serta kenyataan yang kurang sedap didengar dibuat oleh rakyat Malaysia, samada dari percakapan sesama mereka di pejabat, di gerai-gerai makan, dari media multimedia seperti radio dan TV, malah dari sumber internet seperti yang terpaling popilar dari media Blog.

Sebenarnya saya tidak terkejut kepada komen-komen dan kritikan yang saya baca dan dengar dari sumber-sumber yang saya sebutkan tadi kerana semua telah sedia maklum bahawa pada hari Rabu tersebut akan ada pengumuman dan keputusan kerajaan untuk menagani kenaikan harga petrol sedunia. Cuma menjadikan rakyat Malaysia terkejut adalah kenaikan sebanyak 40% dan berkuat kuasa pula dengan serta merta pada jam 12 tengah malam hari tersebut.

Maka bersesaklah rakyat Malaysia untuk memenuhkan tangki minyak kereta mereka untuk memiliki petrol pada harga RM1.92 seliter untuk kali terakhir. Pada saya ini bukanlah kali pertama pernah berlaku kepada mereka, tetapi telah menjadi habit atau amalan rakyat Malaysia untuk mengamalkannya. Inilah yang dipanggil ‘Last Minute Syndrome’.

Saya tidak menyalahkan mereka bertindak demikian, cuma saya tertanya, “Adakah masalah mereka sudah selesai apabila mereka telah berjaya memenuhkan tangki minyak kereta mereka?”, “Berapa lamakah isi tangki petrol mereka akan dapat bertahan?”. “Adakah bila tangki tersebut telah kosong, mereka tidak akan membeli petrol lagi?”. “Adakah mereka akan berdiam diri dan terima sahaja kenyataan ataupun mereka akan menjadi seperti ‘ayam jantan yang berkokok di waktu tengahari akibat kepanasan dan mula menyalahkan pihak yang berkuasa atau kerajaan disebabkan mereka telah menjadi jaguh pertandingan berkokok dibeberapa kampung?”.

Bagi saya, biarlah mereka ‘berkokok’. Tak kan lama mereka ‘menyalak bukit’, paling lama selama 2 minggu sahaja. Lagi lama mereka ‘berkokok dan menyalak’, lagi tinggi bukit dan tumbuh pula gunung.

Baiklah, kita balik semula kepada isi tajuk perbincangan saya, “Tips Menangani Kenaikan Harga Petrol”. Bagi mereka yang mengikuti perkembangan aliran ekonomi semasa, terutamanya kepada harga pasaran minyak mentah yang tidak menentu di pasaran dunia, mengetahui bahawa harga komoditi ini tidak akan turun malah akan melonjak naik lagi pada jagkamasa yang panjang.

Kita sebagai penggunanya, pasti perlu berbuat sesuatu untuk menangani keadaan yang tidak menentu ini, terutama kepada penggunaan keperluan petrol kepada kenderaan kita. Di sini saya ingin memberikan sedikit tips-tips untuk cara kita menangani dan juga untuk cara kita berjimat dari kenaikan harga petrol di pasaran negara.

Servis Kenderaan Anda Secara Tetap

Jadualkan servis penyelenggaraan, seperti yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan, pastikan kenderaan anda pada keadaan yang baik untuk menjimatkan kos penyelenggaraan untuk jangkamasa panjang. Sebagai contoh, tukar minyak pelincir injin untuk mengurangkan penghakisan injin. Setiap 2 tahun, jika kenderaan anda menggunakan karburetor, buat semula penyelarasan. Dengan penyelarasan ini dapat menjimatkan penggunaan petrol. Alat penapisan udara injin yang telah tersumbat perlu tukar pada setiap bacaan perjalanan 20,000 km.

Pastikan Kandungan Angin Tayar

Periksa kandungan angin tayar. Jika kandungan angin berkurangan dari sepatutnya akan menyebabkan tayar akan cepat haus. Setiap perbezaan 1 paun bagi setaip inci persegi (PSI), akan dapat menjimatkan penggunaan petrol anda. Kebiasaan kandungan angin perlu di tetapkan pada antara 28 hingga 32 PSI.

Memilih Gear Yang Betul

Jika anda menekan pedal minyak dengan kuat pada setiap kali lampu merah bertukar ke hijau di lampu isyarat, kandungan petrol yang banyak diperlukan untuk mengerakkan kenderaan anda. Membuat anjakan lebihan dan memandu pada gear yang rendah yang terlalu lama, akan menyebabkan penggunaan petrol yang banyak.

Cuba untuk membuat pergerakan dengan perlahan dan cuba untuk mendapatkan gear yang tinggi pada kadar masa yang cepat dan bersesuaian. Cuba selalu menggunakan gear yang betul mengikut keperluan kelajuan.

Guna Hawa Dingin Dengan Jimat

Benar, kita memahami berpeluh akan menyebabkan kita tidak selesa untuk memandu. Tetapi jika memandu pada keadaan hari yang hujan, tutup penghawa dingin atau gunakan dengan cara berjimat. Penghawa dingin akan melemahkan pergerakan injin dan menyebabkan penggunaan petrol yang lebih untuk terus berkuasa.

Jika cuaca mengizinkan, anda boleh menurunkan cermin tingkap untuk mendapatkan sedikit udara.

Fikirkan Aerodinamik

Basuh dan kilatkan kenderaan anda. Kenderaan yang bersih dan kilat bukan sahaja nampak cantik, malah dapat menggurangkan tindakbalas rintangan. Keluarkan rak bumbung jika anda tidak menggunakannya kerana ia akan dapat menggurangkan rintangan kepada kenderaan anda.

Jangan Memandu Degan Tidak Berhemah

Mencelah-celah di jalan raya dengan membuat kelajuan secara tidak tetap, akan menggunakan penggunaan petrol sebanyak 3 kali ganda dari pemanduan secara biasa. Cara yang menjimatkan adalah dengan cara memandu secara biasa, tekan pedal minyak dengan sedikit dan cuba untuk tidak menekan brek dengan kuat.

Memandu Dengan Ketenangan

Kelajuan merupakan faktor utama kepada penjimatan petrol. Jika memandu dengan kelajuan yang tinggi, lebih banyak rintangan angin berlaku, dan mememerlukan kuasa injin yang lebih.

Ia terbukiti dengan memandu pada kelajuan kelebihan 10km/j dari kelajuan yang ditetapkan akan meningkatkan penggunaan petrol. Kelajuan yang terbaik adalah pada kelajuan 60 hingga 80 km/j untuk mendapatkan penjimatan petrol yang terbaik.

Elakkan Menunggu

Ketika menunggu untuk di lampu isyarat adalah merupakan faktor yang utama penbaziran petrol. Cuba elakkan untuk menggunakan laluan yang sibuk dengan memandu pada waktu tidak sibuk dan cuba untuk mencari laluan alternatif yang terbaik.

Jika anda sedang menunggu seseorang di kenderaan, matikan injin kenderaan kerana kenapa perlu membazirkan petrol untuk tidak memandu.

Elak Membawa Muatan Lebihan

Jika pasangan anda merungut dan mencadangkan anda untuk mengemas dalaman kenderaan anda, berterima kasihlah pada beliau. Bebanan yang berlebihan akan menyebabkan penggunaan petrol yang banyak. Ini bermakna tiada beg pekakas golf di bot kereta, buku dan majalah di dalam kereta dan asesori yang berlebihan di laci pekakas di tempat duduk penumpang.

Kekurangan 50 kg di kenderaan anda dapat menjimatkan 1 hingga 2 peratus isi petrol.

Tukarlah kepada NGV

Persatuan Automobil Malaysia mencadangkan lebih banyak kenderaan bertukar kepada NGV untuk mendapatkan lebih penjimatan dan untuk menjaga kesejahteraan alamsekitar.

Walaupun kos untuk memasang tangki gas dan pekakasnya memerlukan antara RM1,000 hingga RM2,000, tetapi untuk jangkamasa panjang ia menjimatkan. Kenderaan biasanya menggunakan 20 hingga 30 sen untuk setiap kilometre, tetapi dengan menggunakan NGV ia menggunakan 8 hingga 10 sen sahaja untuk setiap kilometre. Jadi buatlah mengiraan untuk keperluan anda.